Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kegagalan fungsi pada paru-paru Muhammad Adib Mohd Kassim merupakan punca kematiannya.

"Kecederaan pada paru-paru Adib yang bocor menyebabkan kesukaran kitaran oksigen ke dalam badannya termasuk bahagian jantung," katanya kepada Koroner Rofiah Mohammad.

Beliau yang juga saksi ke-14 turut mengatakan keadaan Muhammad Adib berada dalam keadaan sangat kritikal sebaik sahaja diterima oleh pihak IJN dan perlu menggunakan bantuan mesin pernafasan, Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) untuk memberi sokongan terhadap jantung dan paru-parunya ketika menuju ke IJN.

"Proses untuk membawa Adib ke IJN agak berisiko kerana ketika itu paras oksigen dan tekanan darahnya sangat tidak stabil dan Adib tidak sedarkan diri dan kami perlu menyegerakan proses membawanya ke IJN," katanya lagi.

Menurut Dr Ezani, keadaan jantung Muhammad Adib menunjukkan perkembangan positif setelah menggunakan mesin bantuan pernafasan bagaimanapun keadaannya masih berada dalam keadaan kritikal terutamanya keadaan buah pinggangnya.

BACA: Inkues Adib: Adib alami kecederaan parah di paru-paru

BACA: Inkues Adib: Muhammad Adib akui dipukul - Saksi

"Dia stabil bila kita dah mula cabut mesin bantuan pernafasan tetapi tahap kesihatan dia kritikal dan kami teruskan beberapa rawatan lain," jelasnya lagi.

Sepanjang rawatan, Muhammad Adib juga mampu berkomunikasi meskipun tidak mampu bercakap bersama pihak hospital.

"Dia boleh respon bila kita bercakap dengan dia dan dia gunakan 'white board' untuk berkomunikasi disebabkan bahagian tekaknya ada kita pasang alat oksigen," ujarnya.

Bagaimanapun Muhammad Adib disahkan meninggal dunia selepas 21 hari bertarung nyawa apabila tahap kesihatannya mula kembali mencatatkan penurunan pada 17 Disember lalu.

Turut hadir pada prosiding yang masuk hari ke sembilan merupakan Pakar Bius IJN, Datuk Dr Suneta Sulaiman yang merupakan saksi ke-15 juga menceritakan keadaan sama dan akan menyambung lagi keterangannya esok.