Rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, di USJ25, Subang Jaya Isnin lalu, merupakan satu insiden jenayah dan tiada kaitan dengan unsur-unsur lain.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu berkaitan agama, walaupun ianya berkaitan perpindahan kuil.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri hari ini, beliau berkata beliau telah dimaklumkan oleh pihak polis tentang perkembangan terkini siasatan ke atas kejadian tersebut.

BACA: Tun M didesak campur tangan isu Kuil Sri Maha Mariamman

"Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.

"Kerana ianya berkaitan jenayah, pihak polis telah diarah untuk mengambil tindakan lanjut bagi menangani serta mengawal situasi ini dengan segera.

"Kerajaan juga kesal dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil dan yang telah mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat di dalam rusuhan ini.

"Penjenayah-penjenayah yang terlibat cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk kerosakan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang sedia ada.

"Bagi dalang jika ada di sebalik kejadian ini mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.

"Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media.

"Sekali lagi saya tegaskan kejadian ini adalah insiden jenayah dan tidak ada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain," kata kenyataan itu.

BACA: Insiden kuil: Selangor adakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara

BACA: One City tuntut penjelasan polis, kaitkan syarikat itu dengan insiden kuil

BACA: Insiden kuil: Jangan keluarkan kenyataan tidak tepat - KPN