Istana negeri hari ini mengesahkan tidak pernah menerima permintaan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Setiausaha Sulit Kepada Yang DiPertua Negeri, Abinan Asli berkata, Istana Negeri turut menyangkal sekeras-keras dakwaan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Zulkarnain Mahdar selain menyifatkan ia tidak berasas dan berniat jahat.

Tegas beliau, rombongan Musa beserta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memihak kepadanya telah cuba memasuki Istana Negeri secara paksa pada 30 Julai lalu kira-kira pukul 3.50 petang tanpa permohonan rasmi sebelum disekat polis.

"Istana Negeri juga tidak pernah mengarahkan polis menahan Musa memasuki kawasan istana sebaliknya sekatan itu dibuat oleh polis bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

BACA: LAPOR LANGSUNG Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

"Setelah mengambil kira suasana tegang yang berlaku pada masa itu selain tiada keperluan untuk Musa bertemu dengan Tun Juhar kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan pada pagi itu," kata beliau dalam kenyataan media pada Khamis.

BACA: DUN Sabah bubar: Ini 10 perkara anda perlu tahu dari sidang akhbar Shafie Apdal

Sehubungan itu, pihak Istana Negeri kesal dengan laporan tidak benar yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp yang mengaitkan Juhar.

Yang Dipertua Negeri dalam masa sama menasihatkan rakyat Sabah supaya bertenang dan tidak mudah mempercayai berita-berita palsu yang boleh mewujudkan ketegangan dan menggugat keharmonian rakyat.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah supaya terus bersatu hati dan hidup dalam aman damai.

Baru-baru ini, politik Sabah bergolak selepas Musa mendakwa telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan beberapa parti di negeri itu.

Sehari selepas membuat dakwaan berkenaan, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.





BACA: Kronologi politik Sabah selepas PRU-14 sehingga pembubaran DUN