Datin Seri Joan Maluda, isteri kepada Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, meninggal dunia hari ini selepas lama menghidap penyakit.

Mendiang berusia 63 tahun.

Joan menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediaman pasangan itu di Kampung Kolopis, Penampang dekat sini pada jam 2.15 petang ketika ahli keluarga berada di sebelahnya.

Dalam satu kenyataan di sini malam ini, Ongkili yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir pada satu upacara di Gereja SIB di Likas di sini pada 9 Sept (Ahad) jam 1 petang.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyampaikan ucapan takziah. Mendiang ialah seorang isteri dan ibu yang penyayang. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang amat dirasai," kata Ongkili.

Pasangan itu mempunyai dua orang anak iaitu anak perempuan Rachel Jane, dan anak lelaki, Jordan. -- Bernama