Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad merupakan individu penting yang boleh membantu siasatan kes pindah milik tanah FELDA di Jalan Semarak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kenyataan Isa penting bagi membantu siasatan kes tersebut kerana beliau adalah antara individu yang menjawat jawatan pengurusan tertinggi FELDA ketika itu selain mempunyai kaitan dengan keputusan melabur.

Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Isa bagi membantu siasatan berhubung isu tersebut, minggu depan.

“Kita sudah rakam keterangan lima saksi terdiri daripada pegawai FELDA, pejabat tanah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta yang penting adalah pengadu itu sendiri esok atau lusa kita rakam percakapan apabila dia berada di Kuala Lumpur.

“Kita akan tengok segala dokumen berkaitan bagaimana keputusan dibuat dan sebagainya. Kalau kita tahu (Mohd Isa) ada kaitan dengan keputusan untuk melabur, kita akan ambil keterangan beliau,” katanya.

BACA: Polis tubuh pasukan khas siasat kes Felda

BACA: Isu tanah Felda: Isa Samad sedia disiasat pihak berkuasa

BACA: Isu tanah Felda: Polis buka kertas siasatan, panggil pengadu, pegawai Felda


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Tambah Noor Rashid, siasatan dijangka akan lebih rancak minggu depan apabila polis mengambil keterangan individu penting selain memperoleh dokumen berhubung kes itu.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana penipuan serta pemalsuan dokumen.