Pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan keputusan mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, prosedur seterusnya adalah menunggu perintah Peguan Negara untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

Jelasnya, langkah itu perlu dibuat berlandaskan kedudukan SPRM sendiri sebagai agensi kerajaan.

"Sebenarnya kita bukan sudah hantar tetapi akan hantar hari ni permohonan kepada Peguam Negara untuk mendapatkan persetujuan.

"Kita agensi kerajaan jadi apa-apa tindakan sivil perlu dirujuk kepada Peguam Negara.

"Walaupun kita di pengurusan tertinggi sudah putuskan, kita perlu rujuk kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan," katanya semasa sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM (P29 & P41) dan Kursus Peralihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato’ Sri Mohd. Jamidan Abdullah; Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Idris Zaharuddin serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

Pada majlis berkenaan, seramai 223 kadet dan pegawai SPRM telah berjaya menamatkan Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM dan Kursus Peralihan masing-masing.

Anugerah Kadet Terbaik Siri 20 Bil. 1/2016 & Siri 21 Bil. 2/2016 telah dianugerahkan kepada Nur Falihin Ahmad Fadillah.

Manakala, Anugerah Kadet Terbaik Siri 22 Bil. 1/2017 pula diberikan kepada Mohd. Soni Ahmad.

Siti Syahira Sheikh Mohamad pula dianugerahkan Anugerah Akademik Terbaik Siri 20 Bil. 1/2016 & Siri 21 Bil. 2/2016.

Anugerah Akademik Terbaik Siri 22 Bil. 1/2017 pula diterima oleh Haniff Lami.

Sebelum ini, Guan Eng menyatakan tidak mahu mengulas tindakan SPRM yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Menurut Guan Eng, pihaknya juga tidak akan memberi sebarang ulasan mengenai kenyataan beliau yang menyifatkan penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh berhubung kilang haram di Sungai Lembu, Penanti di sini sebagai ‘penahanan haram’.

Guan Eng sebelum ini enggan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh sebagai “penahanan haram oleh SPRM” walaupun telah diberi satu tempoh masa untuk berbuat demikian.

SPRM pada 25 Ogos lalu turut meminta Guan Eng memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu dalam masa 48 jam tetapi beliau gagal berbuat demikian.