Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya yang menolak undangan bersemuka berkenaan isu pembelian banglo dan penjualan tanah kerajaan negeri.

Justeru, Guan Eng akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan ke atas pembelian banglonya dilakukan secara adil, bebas dan profesional.

"Saya agak kesal apabila Shabudin tidak berani menerima jemputan untuk bersemuka pagi ini di pejabat saya bagi menunjukkan bukti berkaitan tuduhan beliau.

"Saya sedia mendengar hujah dan menyemak bukti yang dimilikinya," katanya pada sidang media di KOMTAR, pagi ini.

BACA: Kit Siang alu-alukan siasatan SPRM terhadap anaknya

BACA: Isu pembelian banglo: Guan Eng alu-alukan siasatan SPRM

BACA: Guan Eng pertahan transaksi pembelian hartanahnya

Guan Eng sebelum ini yakin tidak wujud sebarang unsur rasuah dan menyatakan kesediaan untuk menjelaskan isu berkenaan di dewan rakyat.

Bagaimanapun, beliau mendakwa agak sukar berbuat demikian memandangkan perkara itu tidak berkaitan dengan perihal Kerajaan Pusat.

Sebaliknya, beliau mungkin hanya berpeluang menjelaskan isu berkenaan di Dewan Undangan Negeri.

Guan Eng sebelum ini meminta Shabudin mengemukakan bukti berkaitan pembelian banglo berkenaan yang didakwa jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.

SPRM Pulau Pinang turut memaklumkan menerima aduan berkaitan isu pembelian banglo terbabit dan telah merakam keterangan pengadu.