Kerajaan tidak berhasrat untuk mengeruhkan konflik antara Malaysia dan Singapura, menurut Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Katanya, Malaysia sedang mencari jalan penyelesaian susulan isu ruang udara dan sempadan laut antara kedua-dua negara.

Tambahnya, walaupun negara tidak mahu ketegangan ini berterusan, Malaysia tidak akan beralah.

"Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Kementerian Luar telah mengatakan mereka mahu meredakan keadaan.

"Kita tidak mahu terus mengeruhkan keadaan. Kita tidak akan melawan api dengan api. Tiada manfaat jika konflik diteruskan.

"Sementara Singapura tidak mahu mengalah, Malaysia juga tidak akan beralah. Jadi, biar dua negara ini berunding," katanya pada Forum 'New Malaysia Rising: The Challenge Of Fulfilling The Dreams' di Universiti Sunway, di sini pada Selasa.

BACA: Malaysia dan Singapura seperti kembar - Tun Mahathir

Sebelum ini, Malaysia mencadangkan mesyuarat diadakan dengan Singapura untuk membincangkan isu ruang udara dan sempadan maritim yang belum selesai.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada 6 Disember membayangkan bahawa mesyuarat itu juga akan memaklumkan 'contact' yang telah dibuat antara menteri pengangkutan dari kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu Sistem Pendaratan Instrumen (ILS).

BACA: Siaran ILS tanpa izin, Malaysia hantar nota bantahan kepada Singapura

BACA: Pelabur tidak perlu bimbang mengenai ketegangan antara Malaysia-Singapura

Isu-isu itu dibangkitkan selepas Singapura menyiarkan tatacara ILS dan ILS Aeronautical Information Publication (AIP) pada 1 Disember dengan persetujuan Malaysia.

Republik itu juga mendakwa bahawa Malaysia baru-baru ini dikatakan mengambil langkah untuk memperluaskan had pelabuhan Johor Bharu melalui cara menceroboh Perairan Wilayah Singapura sekitar Tuas.

BACA: Singapura tolak cadangan Malaysia untuk hentikan penghantaran aset

BACA: Malaysia-Singapura dicadang henti hantar aset ke kawasan dipertikaikan

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa hab pelabuhan Johor Bharu yang baru berada dalam lingkungan perairan Malaysia.