Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mencadangkan untuk membekalkan senjata api kepada pegawai penguatkuasa jabatan agama ketika mereka bertugas.

Menurut laporan MStar Online, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia ekoran usaha dalam memastikan keselamatan pegawainya terjamin.

"Senjata api akan dibekalkan kepada pegawai penguatkuasa ketika mereka bertugas namun bagaimana pula ketika pegawai ini berada di rumah.

"Jakim sedang melihat kepada semua aspek ini termasuk rondaan secara berkala oleh kereta peronda polis di kawasan kediaman bagi memastikan keselamatan mereka terjamin," laporan itu memetik katanya ketika mengulas tentang kematian Ketua Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek.

Jamil Khir mengakui penggunaan senjata api bukan jalan penyelesaian utama, namun usaha dalam mempertingkatkan tahap keselamatan pegawai penguatkuasa adalah lebih penting.

Dalam kejadian Ahad lalu, Ahmad Raffli mati di hadapan rumahnya selepas terkena dua das tembakan di dada yang dilepaskan oleh seorang daripada tiga suspek yang dipercayai menaiki kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih.

Polis hari ini telah mengedarkan larakan wajah suspek utama dalam kes itu.