Struktur jambatan di Jalan Tangkak-Segamat, berhampiran pintu masuk Gunung Ledang Resort, dekat sini, mengalami keretakan, menyebabkan hanya kenderaan ringan dibenarkan menggunakan laluan itu buat masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata keretakan pada lima tiang dan rasuk jambatan sepanjang 22 meter itu mula dikesan sejak tahun lepas sebelum bertambah buruk, awal tahun ini.

"Jambatan FT023/038/10 ini dibina sejak 66 tahun lepas dengan mampu menampung kenderaan berat sehingga 36 tan sahaja. Dipercayai keretakan berlaku apabila terdapat kenderaan berat antara 50 dan 70 tan melalui laluan terbabit," katanya kepada pemberita ketika meninjau jambatan terbabit, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kerja Raya Johor Mohd Said Sidik.

Mohd Solihan berkata berdasarkan siasatan pihak forensik dari ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 26 Feb lepas, didapati berlaku keretakan serius pada struktur jambatan terbabit.

Sehubungan itu, JKR mengesyorkan supaya jambatan yang secara purata digunakan 10,000 kenderaan sehari termasuk antara 10 dan 20 peratus kenderaan berat, kini hanya boleh dilalui kenderaan ringan tidak melebihi tiga tan sahaja.

Beliau berkata sebagai maklumat, hebahan kini sedang dibuat kepada semua pengguna terutama pengusaha kenderaan berat bagi memaklumkan sekatan had kenderaan tersebut.

Beliau berkata sebagai alternatif, terdapat tiga laluan boleh digunakan kenderaan berat dari Tangkak ke Segamat atau sebaliknya dengan laluan pertama menggunakan Bandar Tangkak-Jalan Muar-Segamat (FT023)-Jalan Bekoh (J123)-Jalan Chohong-Nyalas (M15)- Jalan Asahan (M125)-Jalan Asahan-Jementah (J277)-Jalan Muar-Segamat (FT023)- Bandar Segamat.

Beliau berkata laluan kedua adalah Bandar Tangkak-Jalan Muar-Segamat (FT023)-Jalan Parit Kasan-Sagil (J194)-Jalan Sungai Mati-Bukit Serampang (J33)-Jalan Sengkang (J143)-Jalan Kampung Teratai (J188)-Jalan Durian Chondong (J34)-Jalan Muar-Segamat (FT023)-Bandar Segamat.

Laluan ketiga adalah dari Tol Bukit Gambir-Jalan Sungai Mati-Bukit Serampang (J33)-Jalan Sengkang (J143)-Jalan Kampung Teratai (J188)-Jalan Durian Chondong (J34)-Jalan Muar-Segamat (FT023)-Bandar Segamat.

Menurut Mohd Solihan, dalam masa sama, proses pembinaan sebuah jambatan baharu sepanjang 30 meter juga sedang bermula dengan pembinaannya yang menelan kos antara RM8 juta dan RM10 juta dijangka siap dalam tempoh dua tahun ini.

"Kita anggap ini kecemasan (retak), jadi kita mahu cepat (pembinaan). Buat masa ini pasukan teknikal sudah pun melakukan pemeriksaan awal dan kita harap maksimum paling lewat, dalam tempoh lima bulan ini kita sudah mulakan projek pembinaan," katanya.

-- BERNAMA