Jambatan konkrit dua lorong bernilai RM30 juta akan dibina di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan dalam masa terdekat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, Bertam Baru adalah sebuah 'pekan mati' sejak lebih 50 tahun lalu, dan ia bakal berubah wajah.

Katanya, pembinaan jambatan baharu yang menghubungkannya dengan Kampung Bertam Lama itu akan memberi manfaat perhubungan kepada lebih 5,000 penduduk serta sebagai jalan alternatif untuk ke daerah Jeli.

Sebelum ini, penduduk di Bertam Baru dan kampung sekitar terpaksa menggunakan motosikal melalui jambatan kereta api atau Clementi yang dibina pada zaman pemerintahan Inggeris untuk menghantar anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara.

"Jambatan ini apabila siap nanti akan menghubungkan penduduk di Kampung Bertam Baru dan Bertam Lama.

"Ia juga akan memberi faedah kepada penduduk Gua Musang seperti di Jeram Tekoh, Limau Kasturi, Sungai Asap, Renok Baru yang ingin ke Jeli.

"Diharap juga jambatan ini akan menjadi pemangkin ekonomi kepada rakyat Bertam," kata Ab. Aziz.

Jelasnya lagi pihaknya juga sudah memilih kontraktor dan kerja pembinaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Sementara itu, penduduk Bertam Baru berkata, selama ini mereka dan penduduk di beberapa kampung sekitar hanya menumpang laluan jambatan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Selama ini kami menggunakan laluan yang sedia ada iaitu laluan motosikal dan ia tidak sesuai digunakan untuk kenderaan berat," kata salah seorang penduduk, Naim Sulaiman.

Tambahnya, jambatan tersebut bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada mereka yang tinggal di Bertam Baru, tetapi juga kampung berhampiran di seperti Bertam Lama, Sri Mahligai, Sri Jaya dan Kemubu.

Hizani Ibrahim pula meluahkan rasa syukur ke atas inisiatif kerajaan itu yang diharap akan memberi kemudahan kepada penduduk tempatan dan memendekkan masa perjalanan mereka.

Jambatan baharu itu dijangka siap dalam masa tiga tahun.