Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengatur strategi bagi menangkis segala dakwaan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak terhadap kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata pendekatan 'serang' menggunakan media sosial itu bukan hanya untuk memperbetulkan persepsi masyarakat, malah diharap juga akan membongkarkan kelemahan pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan.

Beliau diminta mengulas mengenai catatan terbaharu Tun Dr Mahathir yang meliputi pelbagai isu berkaitan pentadbiran kerajaan di dalam laman blognya, chedet.cc. yang dimuat naik pada Khamis.

"Kita tahu kenyataan Tun M dalam blog beliau yang terbaru ini sudah menjadi viral dan kita anggap ia (pandangan) adalah terlalu negatif, jadi Jasa akan berdepan dengan perkara seperti ini dan bukan bersikap defensif tetapi 'serang' (menerusi media sosial)," kata Mohd Puad yang ditemui pemberita selepas seminar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berhubung pengenalan SPA dan perkhidmatan awam kepada Jasa di ibu negara pada Jumaat.


Jelasnya, adalah tugas Jasa mengurus persepsi masyarakat terhadap kerajaan kerana dibimbangi sekiranya tidak ditangani, ia mampu menjejaskan kedudukan kerajaan.

"Ada kerajaan terdahulu yang pernah kalah dalam pilihan raya akibat media sosial. Ini telah berlaku di negara lain, jadi kita tidak hendak media sosial ini digunakan untuk terus memfitnah kerajaan yang ada," katanya.


Dalam catatan blog berkenaan, Tun Mahathir antara lain menyentuh tentang isu kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, 1MDB, pembelian jet kerajaan dan kes Koperal Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Kenapa beliau (Tun Dr Mahathir) hendak membangkitkan isu Sirul yang sudah diputuskan mahkamah? Bagi saya, ini tidak wajar, seolah-olah beliau ingin mengatakan bahawa beliau mempunyai bukti baharu. Tetapi pada saya, beliau hanya ingin mengaitkannya dengan Perdana Menteri.

"Jadi Jasa mempunyai tugas mengurus persepsi negatif seperti ini," katanya lagi.


ARTIKEL BERKAIT: Tiada siapa boleh buat telahan masa depan UMNO - Rais

ARTIKEL BERKAIT: Ku Li sependapat dengan Dr Mahathir, desak perkara sebenar didedahkan

ARTIKEL BERKAIT: Mahathir suruh siasat bukan tuduh sesiapa - Ibrahim Ali