Zoo Songkhla menjalankan pengawasan rapi terhadap haiwan-haiwan jagaan berikutan kualiti udara di wilayah itu masih berada pada tahap tidak sihat.

Pengarah Zoo Songkhla, Chalemwut Kasertsomboon berkata pihak zoo turut mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk menyembur air ke udara untuk mengurangkan kesan jerebu terhadap haiwan.

"Kami bimbang kualiti udara yang semakin merosot akan menjejaskan sistem pernafasan haiwan-haiwan khususnya spesies burung dan juga haiwan yang masih menyusukan anak.

"Jerebu akan menyebabkan haiwan sakit mata dan batuk serta berjangkit kepada haiwan lain.

"Oleh itu, pihak zoo mengambil langkah semburan air untuk mengurangkan risiko jerebu terhadap haiwan-haiwan," katanya ketika dihubungi.

Sehingga 5 petang (waktu tempatan), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Hatyai, Songkhla ialah 111 dan Sateng, Yala 100 dan Bang Nak, Narathiwat (88).

Keadaan jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia telah menjejaskan kualiti udara di daerah Hatyai Songkhla sejak minggu lepas.

Berdasarkan Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand, (Thailand Pollution Control Department), bacaan IPU antara 0 dan 25 dikategorikan sangat baik, 25 hingga 50 (baik), 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 ke atas (sangat tidak sihat).

-- BERNAMA