Johor negeri pertama haramkan penjualan vape

Johor negeri pertama haramkan penjualan vape
Sultan Johor beri masa sebulan untuk peniaga vape menutup operasi mereka.
KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, menitahkan penjualan rokok elektronik atau vape adalah diharamkan di negeri tersebut.

Laporan akhbar, The Star menyebut baginda memberi tempoh sebulan kepada semua peniaga vape di negeri itu untuk menutup premis perniagaan mereka bermula 1 Januari 2016.

"Ini adalah isu kesihatan dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada generasi muda. Ia tidak ada kena-mengena dengan perniagaan dan sama sekali tidak ada kaitan dengan bangsa," titah baginda.

BACA: 'Jangan cap saya rasis kerana bela Bumiputera' - Ismail Sabri
BACA: 'Rokok elektronik, rokok biasa sama sahaja bahayanya' - Tun Mahathir

Kerajaan negeri juga diarahkan agar bersidang minggu hadapan untuk mempercepatkan proses tersebut.

Baginda juga mempersoalkan tindakan sesetengah ahli politik yang dilihat mengalah kepada kehendak dan permintaan peniaga vape.

"Beta mahu tahu jika peniaga vape akan membenarkan ahli keluarga atau anak-anak mereka menghisap vape, jika benar ia selamat seperti yang digembar-gemburkan," baginda bertitah.

Dengan perkembangan terbaharu ini telah menjadikan Johor negeri pertama yang mengharamkan penjualan vape.

Setakat ini, belum ada kajian saintifik yang membuktikan bahawa vape boleh membantu menghentikan ketagihan rokok, sebaliknya pakar percaya vape akan menyebabkan satu bentuk ketagihan baharu di kalangan golongan muda.