Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan kes penjualan MyKad sah melibatkan pegawai jabatan tersebut.

Pengarahnya, Nur Zulfa Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya tidak dapat mengulas lanjut berhubung kes itu memandangkan kes berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah.

Bagaimanapun tegasnya, salah laku yang didakwa melibatkan pegawai jabatan itu tidak mencerminkan imej JPN negeri secara keseluruhannya.

"Saya sebagai pengarah JPN Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa memang kami komited dan (sedia) bekerjasama dengan pihak PDRM untuk kes tersebut," katanya ketika ditemui selepas majlis Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai JPN Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

BACA: Penolong Pengarah JPN dan 5 individu didakwa terlibat sindiket jual MyKad

Pada majlis itu, seramai 24 pasangan mendaftarkan perkahwinan mereka sempena tarikh 19 September 2019 yang dianggap istimewa.

BACA: 24 pasangan di P. Pinang pilih tarikh 190919 langsungkan perkahwinan

Pada 12 September lalu, Penolong Pengarah JPN negeri, Mohd Faizul Arifin, 34, antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta MyKad sah kepada warga asing.

Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran, manakala lima yang lain masing-masing dituduh menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama individu yang sama.

Lima daripada mereka kecuali Mohd Faizal Tan masing-masingnya didakwa antara dua dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama beberapa individu antara Januari dan Mei 2019.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang itu juga dituduh atas lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan kad pengenalan atas nama beberapa individu antara 20 September 2018 dan 3 Mei 2019.