Jualan Equanimity: Balik sini dan dakwa saya, kata Tun M kepada Jho Low

Jualan Equanimity: Balik sini dan dakwa saya, kata Tun M kepada Jho Low
Dr Mahathir minta Jho Low kembali ke Malaysia dan mendakwanya di Mahkamah dan beliau akan mempertahakan diri. - Gambar fail
PETALING JAYA: Ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho, atau Jho Low, boleh kembali ke Malaysia dan membuat pendakwaan berhubung jualan kapal mewah Equanimity, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Low yang mendakwa kerajaan sengaja menjual kapal mewah itu pada harga rendah.

“Beliau boleh datang ke sini dan membuat dakwaan, dan saya akan ke mahkamah untuk mempertahankan keputusan saya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada Rabu.

Equanimity dijual kepada Genting Malaysia Bhd, atau syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV) miliknya, pada harga AS$126 juta (RM514.6 juta). 

Bagaimanapun, ia sebelum ini dilaporkan bernilai RM1 bilion. 
BACA: Equanimity: Harga ditawar Genting terbaik - Guan Eng

Sehingga kini Low masih bebas selepas didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat berhubung penyelewengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, penjualan kapal itu dibuat selepas Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada Rabu memberi kelulusan untuk menerima tawaran membeli Equanimity daripada Genting atas Terma-terma dan Syarat-syarat Syerif.

Susulan pengumuman itu, Low membidas tindakan kerajaan Malaysia itu, mendakwa ia dengan 'sengaja' menjual kapal mewah Equanimity pada harga rendah.

BACA: Jho Low 'tembak' kerajaan jual Equanimity harga rendah

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Equanimity masih boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan membabitkan skandal 1MDB walaupun ia sudah dijual.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, mahkamah boleh mengeluarkan sepina bagi mendapatkan segala dokumen yang diperlukan untuk dijadikan bahan bukti daripada pemilik baharu.

BACA: Kehilangan Paderi Raymond: SUHAKAM perlu kemukakan bukti