Mula menyimpan dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak usianya 18 tahun, seorang juru ukur bahan, Ang Sing Yeow menjadi penyimpan bertuah apabila diumumkan sebagai pemenang cabutan bulan Februari.

Sing Yeow, 31, yang berasal dari Terengganu berjaya membawa pulang sebuah Mercedes Benz C200 dan tuah kemenangan buat kali kedua itu sama sekali tidak disangkakannya.

Sebelum ini, sekitar tahun 2013, beliau pernah memenangi sebuah iPad dalam cabutan SSP.

“Mula-mula ketika dihubungi oleh kakitangan BSN cawangan Terengganu sebagai pemenang bulan Februari, saya tidak percaya, sehingga saya semak sendiri laman web BSN.

“Ini kali kedua saya menang dan saya menggalakkan orang ramai di luar sana yang belum lagi menyimpan di SSP supaya berbuat demikian,” katanya selepas majlis penyampaian kunci replika di Wisma BSN, Jalan Ampang, di sini pada Sabtu.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Peruncitan & Perniagaan Komuniti, Datuk Mearia Hamzah.

Sementara itu BSN turut memperkenalkan kategori baru cabutan SSP iaitu ‘Junior Draw’ atau ‘Cabutan Remaja’ bermula Mac.

Kata Mearia, kategori baru cabutan Remaja BSN SSP itu terbuka kepada remaja yang berumur antara 12 hingga 23 tahun.

Cabutan itu akan diadakan empat kali setiap suku tahun dengan tawaran ganjaran berupa gajet-gajet terkini.