Kaedah data raya atau big data yang diperkenalkan dalam mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah mampu disesuaikan dengan pendekatan normal baharu sistem pendidikan di negara ini.

Menurut bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, keputusan membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini juga disifatkan sebagai langkah positif untuk melihat prestasi pelajar yang tidak hanya berasas kepada peperiksaan.

Katanya, tenaga pengajar perlu menggunakan kreativiti mereka untuk mencungkil daya pemikiran kritikal dalam kalangan murid dan pelajar.

BACA: COVID-19: UPSR, PT3 tahun 2020 dibatalkan

“Kalau kita masih ingat lagi, Kementerian Pendidikan juga telah mengumumkan big data untuk menilai anak murid.

“Saya yakin komuniti data raya dan big data masih lagi wujud dan mereka perlu dilibatkan di dalam proses pendekatan normal baharu oleh Kementerian Pendidikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik.

“Mereka boleh membantu kita untuk melangkah ke hadapan menggunakan penilaian menyeluruh berdasarkan data raya untuk menilai penilaian anak-anak murid,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Maszlee menyifatkan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) di rumah ketika ini juga perlu menekankan aspek pembelajaran untuk kehidupan.

“Anak murid yang berada di rumah lebih mempunyai waktu untuk menerokai pembelajaran berkaitan dengan kehidupan sama ada dari segi pertukangan, pertanian ataupun skil-skil kemanusiaan, komunikasi atau perniagaan.

“Begitu juga dengan ibu bapa, gunakan peluang untuk menggunakan semaksimum mungkin (media sosial) YouTube dan juga pelbagai maklumat yang ada di dalam internet untuk mencungkil (sifat) kemanusiaan dan kemahiran,” katanya.

Pada Rabu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pembatalan peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun 2020.

Menurut Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pembatalan ujian tersebut tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid.