Perbadanan Kampong Bharu (PKB) merayu kerajaan untuk memberi pengecualian bayaran kepada pihak-pihak yang membuat permohonan harta pusaka kecil di lokasi berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Affendi Zahari berkata ia termaktub dalam perintah Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG).

Jelasnya, ia juga terkandung di dalam Perintah Pembahagian dan Perintah Kuasa Mentadbir (Seksyen 8) yang dikenakan sebanyak 0.2 peratus daripada nilai harta pusaka si mati.

"Kita di PKB ada buat klinik dua kali sebulan, sesiapa ada masalah faraid datang, kerana JKPTG ada wakilnya, Amanah Raya Berhad (ARB) ada wakilnya.

"Kalau kamu tidak datang, kita tidak dapat membantu. Jika ada aduan harta pusaka, mereka tidak tolong diri mereka, bagaimana untuk kami bantu?" katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Jelasnya, dengan pemberian pengecualian ini, ia dapat mengurangkan beban kewangan waris.

Ia sekali gus dijangka menyelesaikan isu harta pusaka hartanah Kampong Bharu dengan lebih cepat.

Tegasnya, waris juga tidak akan mempunyai alasan untuk melengahkan atau tidak membuat tuntutan harta pusaka.

Tambahnya, pembangunan Kampong Bharu juga akan menjadi lebih rancak dan mendapat perhatian daripada pemaju hartanah.

BACA: Kampong Bharu: 'Dulu pelan macam New York, sekarang seni bina Islam pula?'

BACA: Jadikan Kampong Bharu sebagai 'Bandar Melayu' di ibu kota - PPWT

Dalam pada itu, Setiausaha Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Samsuri Suradi berkata pembangunan Kampong Bharu perlu mengikut ciri-ciri Melayu yang diumum kerajaan sebelum ini.

"Bagaimanapun, ia tidak semudah kita hendak buat sebab tanah ini sudah 117 tahun dari segi pemilikan satu tanah kecil mempunyai sehingga 70, 50 nama kadang-kadang hendak cari bukan mudah.

"Cadangan membangunkan Kampong Bharu tergendala kerana menyentuh berkenaan PKB. Jawatankuasa atau lembaga yang dilantik itu pendek hayat mereka, dua atau tiga tahun, jadi perkara ini bukan mudah. Bukan seperti membangunkan rumah teres.

"Kena ambil kira dari segi keahlian jawatankuasa yang betul-betul pakar, ada track record jadi kita ada kepercayaan. Mereka ini menghadapi sedikit masalah," katanya.

Jelas Samsuri, pihaknya turut berhadapan banyak cubaan.

Katanya, ada cubaan pembangunan yang boleh dibangunkan pada masa pendek tetapi kita kerugian di akhir waktu.

"Melayu patut pertahankan budaya hidup dan kehidupan, maksud saya kehidupan orang melayu dan kesopanan orang Melayu.

"Berkenaan kelewatan itu berlaku oleh disebabkan persediaan, pada mulanya saya sendiri lihat PKB sediakan pelan terperinci PKB yang mana dikatakan 88 peratus penduduk bersetuju, penduduk bersetuju tetapi bukan ikut pelan itu

"Ia dikira komprehensif, secara tidak kira apa akan berlaku, tidak kira apa, pada saya ia seharusnya berlaku sedikit-sedikit.

"Dalam lima tahun, kita lihat apa boleh dibangunkan, bukan keseluruhannya," jelasnya.

BACA: Majoriti penama geran meninggal dunia, pembangunan Kampong Bharu jadi sukar

Sementara itu Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan, isu tanah menjadi faktor masa di Kampong Bharu.

"Kena faham soal tanah ini bukan soal straight forward, ia melibatkan banyak isu melibatkan perundangan dan sebagainya.

"Apatah lagi apabila pembelian ini dilakukan oleh pihak swasta atau pemaju swasta kalau dibangunakan oleh kerajaan, kerajan tidak ada duit untuk membeli tanah persendirian," ujarnya.

Jelasnya, isu yang berbangkit di Kampong Bharu sebenarnya melibatkan banyak pihak.

"Pertama dia juga melibatkan pihak daripada pemilik dan pewaris, kerana sebahagian daripada masalah yang saya tengok ialah apabila hendak mengadakan pembangunan, PKB berdepan dengan masalah di mana banyak tuan-tuan tanah ini dia mempunyai banyak nama.

"Jadi nama-nama ini bila kita hendak satukan supaya bersetuju dengan pembangunan, dia akan masa begitu lama," ujarnya.

Johari juga memberitahu, PKB bukanlah pemaju dan bukan pembeli tanah.

"Mereka cuba mengkoordinasi dan pastikan bahawa kalau ada tanah hendak dibangunkan dan kemudian ada pemaju, jadi tidak ada penipuan berlaku. Dia membantu pembangunan, itu tugas PKB.

"Jadi saya ingat isu ini memang agak rumit, tetapi ada juga di tanah-tanah yang telah selesai dibangunkan secara kecil-kecilan. Contoh kalau dia dapat satu ekar atau dua ekar, dia bangunkan.

"Tetapi kalau kita hendak pergi ke skala besar agak susah kerana tanah ini dimiliki oleh pelbagai kepentingan. Ada orang mahu RM800, ada RM1,000 ada RM4,000 untuk satu kaki persegi. Jadi susah," tegasnya.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampong Bharu di sini yang antara lain akan memastikan penduduk serta pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.

Perdana Menteri berkata di bawah kaedah pembangunan itu yang akan dicadangkan untuk persetujuan pemilik tanah dan penduduk, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baharu itu selepas mendapat persetujuan mereka.