Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, dekat sini, tengah malam Selasa dipercayai akibat didera ayah kandung dan ibu tirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Mohd Afzanizam Yahaya berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian kanak-kanak itu daripada pihak hospital pada 12.50 tengah malam.

Mangsa dihantar ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian kanan muka, dada, perut dan kedua-dua betis.

"Setelah pemeriksaan dijalankan, doktor telah mengesahkan bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

"Doktor telah menjalankan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak lelaki tersebut dan punca kematian adalah trauma tumpul pada abdomen," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Mohd Afzanizam berkata susulan itu, pihaknya menahan bapa mangsa berusia 33 tahun yang bekerja sebagai tukang masak dan ibu tirinya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun dan tidak bekerja, untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua suspek ditahan di rumah mereka di Taman Sentosa pada 11 pagi Rabu. Mereka akan direman esok pagi," katanya menambah kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat P/Asp Fazly Ishak di talian 017-3090385.

-- BERNAMA