Seronoknya melayan cucunda...

Tiga keping gambar dimuat naik di laman Instagram @istana_negara memaparkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama cucunda, Tengku Zayn Edin Shah Tengku Abu Bakar.

Imej itu dirakam semasa Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat ke Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat di Istana Negara pada Khamis.


Tengku Zayn merupakan putera sulung Tengku Puteri Iman Afzan dan suaminya, Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Arif Bendahara Tengku Abdullah yang diputerakan pada 23 Julai lalu.

Sultan Abdullah yang mengenakan persalinan berwarna putih mendukung Tengku Zayn dengan penuh kasih sayang.

Sementara imej kedua dan ketiga yang dimuat naik memperlihatkan Tunku Azizah meriba dan mengagah Tengku Zayn dengan hanya duduk bersimpuh.

Seperti orang lain, sifat kasih sayang baginda sebagai nenda sangat terserlah.