Siasatan polis berhubung kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara awal pagi semalam turut menjurus kepada unsur jenayah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemungkinan unsur jenayah itu turut dibincangkan oleh beliau bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

"Kita tidak harus membuat spekulasi sehingga siasatan diperolehi secara konklusif, sebab sebarang kemungkinan akan dikemukakan kepada jawatankuasa yang saya sebutkan tadi (Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas).

"Saya akan maklumkan kepada umum jika ada unsur-unsur jenayah dan unsur-unsur di luar daripada kesalahan atau kesilapan teknikal, termasuk gangguan pintasan elektrik di premis berkenaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada satu sidang media selepas menghadiri Dialog TN50 Kluster Keselamatan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.

Susulan kebakaran yang yang meragut 23 nyawa itu, Ahmad Zahid berkata semalam, satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat insiden itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jawatankuasa itu penting selain bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

BACA: Bangunan sementara atau kekal, piawaian keselamatan perlu dipatuhi - TPM Zahid

BACA: Jangan spekulasi punca kebakaran pusat tahfiz - KP JBPM

Bercakap kepada media hari ini, beliau juga melahirkan kekesalan apabila syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Keselamatan Sekolah Agama yang ditubuhkan pada 1989 tidak digunapakai oleh kebanyakan pusat tahfiz dan sekolah agama rakyat di negara ini.

"Saya dimaklumkan, cadangan dan syor itu tidak dilaksanakan dan tidak digunapakai. Saya harap, (ia dipatuhi) demi keselamatan pelajar-pelajar maahad tahfiz ini," tambahnya.

Cadangan dan syor yang dikemukakan RCI itu susulan tragedi Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya yang mengorbankan 27 nyawa.

BACA: Tragedi Pondok Pak Ya dan empat lagi kebakaran pusat tahfiz

Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, bukan semua pusat tahfiz tidak mematuhi syor yang dikemukakan RCI tersebut.

"Oleh kerana satu atau dua kejadian, apatah lagi 31 kejadian yang berlaku, ia akan memberi gambaran buruk kepada sistem pendidikan ketiga di negara kita.

"Ia juga memburukkan imej pendidikan Islam serta memburukkan imej pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan agensi penguatkuasaan yang telah memberi garis panduan, pembentukan dan ciri-ciri keselamatan yang harus ada pada mana-mana maahad tahfiz atau mana-mana rakyat dan negeri di negara kita ini," katanya.

Tegasnya, mesyuarat pertama Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas yang dijadual pada Selasa depan juga akan memfokuskan kepada syor tersebut.