Sebuah lot kedai empat tingkat yang turut menempatkan premis menjual peralatan cermin mata musnah dalam kebakaran di Jalan Padas Segama, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi Jumaat itu, bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.29 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadamkan kebakaran.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran kedai empat tingkat di Segama di sini. - Ihsan JBPM Sabah

"Empat buah jentera dengan kekuatan seramai 28 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan dari orang awam.

"Berdasarkan maklumat awal, kebakaran ini membabitkan sebuah lot kedai empat tingkat yang musnah seratus peratus namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Keadaan asap tebal ekoran kebakaran kedai empat tingkat di Segama pagi ini. - Foto ihsan JBPM Sabah

"Api kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran pada jam 8.51 pagi dan operasi ini ditamatkan sepenuhnya jam 9.07 pagi tadi,"katanya.

Beliau berkata, punca dan jumlah kerugian sebenar dalam kejadian itu masih dalam siasatan.