Kejadian banjir yang berlaku di Kampung Chuchuh Puteri, Kuala Krai petang semalam, bukan disebabkan bukit pecah sebagaimana yang didakwa penduduk, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata kejadian itu disebabkan fenomena 'kepala air', berikutan hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas.

"Dakwaan bukit pecah dan menyebabkan banjir itu hanyalah teori daripada penduduk kampung sahaja. Banjir itu berlaku disebabkan fenomena kepala air.

"Keadaan banjir di kawasan itu tidaklah seburuk seperti banjir yang berlaku pada 2014. Kita juga ada terima dakwaan mengatakan empangan Pergau di Jeli juga pecah, namun perkara itu tidak benar," katanya pemberita selepas Program Berkhatan Kanak-kanak peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

BACA: Banjir Kelantan: Air naik mendadak, lebih 150 penduduk terperangkap diselamatkan

BACA: Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 4,386 orang

BACA: Kanak-kanak mangsa pertama banjir di Pasir Puteh ditemui maut

Semalam, lebih 100 mangsa daripada kira-kira 20 keluarga di Kampung Chuchuh Puteri di Kuala Krai yang terletak kira-kira 80 kilometer dari sini, berdepan detik cemas apabila kampung berkenaan dinaiki air secara mendadak sehingga paras satu meter kira-kira pukul 5 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanif Omar dilaporkan berkata penduduk mendakwa kejadian itu disebabkan satu kawasan tadahan air di sebuah bukit di kampung berkenaan pecah sehingga menyebabkan air mengalir memasuki kampung.

Fenomena 'kepala air' merujuk kepada pengumpulan air di kawasan tinggi akibat hujan berterusan sebelum mengalir secara mendadak ke kawasan rendah dan petanda awal akan berlakunya fenomena 'kepala air' termasuklah peningkatan air secara mendadak, air bergelombang dan berwarna keruh di kawasan sungai.

-- BERNAMA