Semua bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga hari susulan kemangkatan, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim Ismail pada jam 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Anakanda keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah itu disemadikan hari ini di Makam DiRaja Mahmoodiah selepas solat Zohor.

Almarhum disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010, atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.

Tunku Abdul Jalil yang diputerakan pada 5 Julai 1990 mangkat selepas menderita akibat kanser hati.


mangkat, Shahir Omar
Suasana pilu menyelubungi bandar raya Johor Bahru yang sedang berkabung selepas kemangkatan putera kesayangan, Tunku Abdul Jalil pada malam Sabtu. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Wartawan penyiaran Astro AWANI, Asyraf Hasnan, krew penggambaran dan jurugambar Astro AWANI, Shahir Omar berada di Johor Bahru bagi laporan lintas langsung kemangkatan Tunku Abdul Jalil.











Pengerusi Majlis Jumaah DiRaja, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam satu kenyataan pada Sabtu, berkata waktu ziarah bagi orang ramai bermula dari jam 9 pagi sehingga 11.30 pagi Ahad, di Istana Besar Johor.

makam Tunku Abdul Jalil
Orang ramai berpusu-pusu hadir ke Istana Johor di Johor Bahru untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil yang mangkat pada malam Sabtu. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Orang ramai telah mula membanjiri Istana Johor seawal 8 pagi Sabtu untuk memberi penghormatan akhir kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil.

Abdul Rahim turut mengumumkan tiada cuti pada Ahad, tetapi kakitangan kerajaan akan berkabung tiga hari manakala Kerabat DiRaja tujuh hari dan semua majlis berbentuk hiburan di Johor ditangguhkan.

Bukan sahaja warga Johor, malah seluruh rakyat Malaysia yang sering mengikuti perkembangan Almarhum Tunku Abdul Jalil turut berduka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Sabtu telah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga DiRaja Johor tersebut di laman Twitter peribadinya.


Almarhum Tunku Abdul Jalil sewaktu hayatnya dikenali sebagai seorang yang berjiwa rakyat. Sifat peramahnya membuatkan sesiapa sahaja senang mendampinginya.

Selebriti popular negara, Datuk Siti Nurhaliza merupakan salah seorang personaliti yang begitu rapat dengan Almarhum Tunku Abdul Jalil.

Dengan notasi terakhir di laman Instagram peribadinya pada Ahad, Siti merakamkan kesedihannya ke atas pemergian sahabat baiknya itu.

Tidak ketinggalan, personaliti sosial media yang dikenali sebagai Faizdickie turut berkongsi rasa sedihnya dengan memuat naik perbualannya dengan Almarhum Tunku Abdul Jalil di aplikasi WhatsApp tidak lama dahulu.


Umum mengetahui, keluarga DiRaja Johor sememangnya akrab dengan rakyat jelata di negeri itu.

Salah seorang warga yang cukup menyayangi Almarhum Tunku Abdul Jalil ialah Fatimah Zahra yang sejak awal pagi Ahad telah mula berkunjung ke Istana Johor untuk memberi penghormatan terakhirnya kepada putera raja itu.


Kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi, bumi Johor disimbahi hujan seolah-olah menangisi pemergian Almarhum Tunku Abdul Jalil. Suasana suram menyelubungi negeri yang terletak di selatan tanah air itu.


Namun, persediaan pemakaman Tunku Laksamana Johor itu giat dijalankan oleh warga kerja istana. Kain putih ditebar di luar kompleks Makam Diraja Mahmoodiah di mana pedati yang membawa Almarhum akan melaluinya.



Sekitar 1.55 petang, pedati yang membawa jenazah Almarhum Tunku Abdul Jalil tiba di Makam DiRaja Mahmoodiah diiringi kira-kira 30 AskarTimbalan Setia Johor melalui Jalan Ayer Molek terus ke makam berkenaan sepanjang tiga kilometer.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda baginda yang lain turut mengiringi jenazah Almarhum Tunku Abdul Jalil.

Tunku Mahkota Johor sendiri turut berkenan untuk menyempurnakan pemakaman yang diketuai Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut.


Istiadat pemakaman turut dihadiri oleh keluarga DiRaja Pahang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Istiadat disempurnakan pada kira-kira 3.45 petang.


Warga kerja Astro AWANI merakamkan ucapan takziah kepada keluarga DiRaja Johor atas kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Jalil.

Tunku Abdul Jalil, damailah Almarhum di sana ...