Kementerian Pendidikan akan menyiasat insiden murid tujuh tahun Sekolah Rendah Agama Parit Penghulu Benteng Sungai Rambai Melaka, yang lemas selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan petang semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Chong Sin Woon berkata, pihaknya bersimpati atas kejadian berkenaan dan akan menyiasat serta melakukan pemeriksaan piawaian keselamatan dan penyelenggaraan di sekolah berkenaan.

"Kita akan ambil tindakan supaya sekolah lebih sensitif dan mengambil langkah-langkah untuk menjaga keselamatan murid-murid.

"Kita mengambil berat terhadap insiden seperti ini. Kita perlu mengingatkan guru-guru kita untuk lebih berjaga-jaga dengan keselamatan anak-anak kita di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyampaikan Anugerah Program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) dalam Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE-FROG) sebagai platform Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) 2015 di Bahagian Teknologi Pendidikan, di sini pada Selasa.

Tambah Chong, beberapa pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negara (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah akan dihantar ke lokasi berkenaan.


Semalam, seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai sedang bermain bersama-sama rakannya ketika waktu rehat, terjatuh dalam lubang kumbahan yang terletak di dalam kawasan sekolah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Masri Ibrahim berkata kanak-kanak terbabit didapati terperangkap di dalam lubang kumbahan yang mengandungi air sedalam 3.6 meter.

Pihaknya terpaksa mengepam keluar separuh air kumbahan dan memulakan misi mencari mangsa melalui empat lubang kumbahan sebelum menemui mayatnya.

Sementara itu, seramai 5,000 warga pendidik telah menyertai program GM1M sebagai perintis kepada golongan guru untuk menambah baik kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah.