Walaupun sabar namun perasaan terkilan itu masih terasa.

"Kenapa siasatan terlalu lambat dan pembunuh anak saya masih belum ditangkap?"

Demikian luahan Mohd Kassim Abd Hamid, bapa anggota bomba Muhammad Adib ketika bertanya tentang siasatan kejadian yang mengorbankan nyawa anaknya.

Walaupun sedar keputusan inkues terhadap kes anaknya masih belum diterima, namun dia berharap siasatan itu berjalan dengan lancar.

"Sebagai seorang ayah mestilah ada tersentuh, tetapi alhamdulillah kita kena bersabar."

"Keadilan sewajarnya amat dinantikan anggota keluarga.

"Bagi saya pihak keluarga saya mengharapkan yang keadilan yang sebenar, inkues tu dapat berjalan dengan lancar."

Beliau berkata demikian kepada media ketika menerima ziarah Tengku Temenggung Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Sultan Abdul Halim ke kediaman keluarganya di Kampung Tebengau, dekat sini, pada Selasa.

Gesaan untuk menyegerakan siasatan berkaitan kes Adib turut disuarakan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan dengan telus mengikut undang-undang sedia ada.

Pada 27 Disember lalu, Peguam Negara dilaporkan akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.