Keputusan sama ada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abdul Hanan Alang Endut akan kekal bebas daripada 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM59,390.60 atau perlu dipanggil membela diri, akan diketahui pada 27 Feb ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Halim Aman menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Abdul Hanan, dan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afifah Yusof hari ini.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Mac 2012, yang melepas dan membebaskan Abdul Hanan, 65, daripada kesemua pertuduhan itu tanpa perlu dipanggil membela diri.

Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Abdul Hanan didakwa menerima suapan itu di Jalan 17/21 Seksyen 17 Petaling Jaya dari 1 hingga 15 Dis 2008 dalam bentuk beberapa cek kosong (tanpa jumlah dan tarikh) United Overseas Bank milik Adam Omar sebagai ganjaran kerana meluluskan permohonan dana oleh Global Goodway (M) Sdn Bhd.

Dia kemudian didakwa telah menunaikan cek-cek itu yang diterimanya dari 15 Dis 2008 hingga 27 Feb 2009 bagi tujuan pembaikan rumah berjumlah RM15,024, pembayaran zakat pendapatan berjumlah RM25,000, kad kredit berjumlah RM9,275, cukai taksiran bagi tiga premis sebanyak RM1,542.60, cukai tanah di Mukim Sungai Raya sebanyak RM15 dan mendepositkan RM8,000 ke dalam akaun isterinya.

Abdul Hanan didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama, di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, dalam hujahannya, Afifah berkata hakim Mahkamah Sesyen telah mengabaikan definisi suapan dalam kesimpulan penghakiman dan telah terkhilaf apabila tidak mengambil kira bahawa pinjaman juga merupakan suapan berdasarkan Seksyen 2 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Beliau berkata mahkamah seharusnya memanggil Abdul Hanan untuk membela diri dan tidak bergantung semata-mata terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan serta barang-barang kes yang dikemukakan ketika perbicaraan.

"Saksi ke-14 pendakwaan, Adam Omar dalam keterangannya memberitahu pinjaman (yang diberi kepada Abdul Hanan) tiada kaitan dengan rasuah. Yang menjadi penilaian mahkamah ke atas pertuduhan ialah daripada perspektif Abdul Hanan sendiri.

"Hanya mahkamah boleh menilai sama ada wang itu diterima secara rasuah atau tidak, bukan saksi. Untuk mematahkan anggapan pihak pendakwaan, Abdul Hanan perlu dipanggil membela diri," katanya.

Muhammad Shafee dalam hujahannya pula berkata hakim Mahkamah Sesyen langsung tidak melakukan kekhilafan dalam melakukan penilaian terhadap kes itu.

Beliau berkata kesemua saksi termasuk pegawai penyiasat juga langsung tidak memberi keterangan yang menyukarkan anak guamnya.

Katanya, mengikut keterangan Adam, beliau pernah menawarkan rasuah kepada Abdul Hanan tetapi bekas KSU itu menolak dan Abdul Hanan juga tidak pernah meminta rasuah daripada saksi berkenaan.

"Adam juga dalam keterangannya memberitahu dia mengenali anak guam saya ketika beliau (Abdul Hanan) pegawai kewangan di Pulau Pinang dan mereka menjadi rapat sehinggakan anak guam saya sendiri pernah pinjamkan duit kepada Adam, sama-sama melancong ke luar negara dan keluarga mereka juga saling mengenali...(keterangan) ini juga tidak dipatahkan oleh pihak pendakwaan," katanya.

-- BERNAMA