Kerajaan kini sedang menstruktur semula jumlah perjawatan dalam perkhidmatan awam berdasarkan kedudukan ekonomi negara dan perkembangan teknologi semasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohamed Farid Md Rafik berkata penstrukturan semula itu melalui beberapa kaedah kajian.

“Antaranya kajian pertindihan fungsi antara jabatan dan agensi, rasionalisasi penjawatan, pengoptimuman sumber manusia, serah urus fungsi (outsourcing), penyampaian perkhidmatan alternatif, penswastaan. gabungan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan.

“Bagi memartabatkan perkhidmatan awam yang pernah dianggap sebagai sektor perkhidmatan awam terbaik di rantau ini, kerajaan akan memastikan bakat terbaik dan pegawai yang berpotensi diletakkan di tempat yang sewajarnya, seterusnya meningkatkan kepercayaan rakyat kepada perkhidmatan awam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang bertanya sama ada kerajaan akan melaksanakan penstrukturan semula perjawatan awam bagi mengawal saiz perkhidmatan dalam sektor kerajaan sejajar dengan dasar baharu kerajaan untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

Tambahnya, bagi penjawat awam pada masa hadapan, kerajaan sedang mengkaji pembaharuan perkhidmatan awam secara menyeluruh termasuk aspek pasca perkhidmatan.

Bagaimanapun, katanya skim pencen yang dilaksanakan pada ketika ini akan dikekalkan.