Perbicaraan berhubung 263.272 ekar tanah di kawasan utama di Jalan Duta, Kuala Lumpur sejak era sebelum mereka pada 1956 masih belum selesai apabila kerajaan hari ini memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan awalnya berhubung pengambilalihan tanah itu.

Kerajaan sedang berusaha menyemak semula keengganan Mahkamah Persekutuan untuk membenarkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan kerajaan Malaysia menceroboh tanah yang kini tersergam antara lain Kompleks Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa buah bangunan kerajaan yang lain, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Pada 2010, syarikat tanah persendirian, Semantan Estate Sdn Bhd menang dalam samannya ke atas kerajaan di Mahkamah Tinggi yang mendapati defendan (kerajaan) tidak mendapatkan tanah itu secara sah daripada plaintif.

Mahkamah Tinggi memutuskan defendan kekal memiliki secara tidak sah tanah berkenaan dan memberikan ganti rugi yang akan dinilai Penolong Pendaftar Kanan.

Tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, kerajaan membuat rayuan dengan Mahkamah Rayuan yang kemudiannya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak usul kerajaan bagi kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan.

Sebelum itu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mewakili kerajaan berhujah bahawa mahkamah mempunyai kuasa yang wujud di bawah Peraturan 137, Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 untuk menyemak semula keputusannya sendiri bagi membetulkan ketidakadilan.

Mohamed Apandi berkata kerajaan tidak mempunyai jalan lain kecuali melalui semakan semula untuk memperbetulkan salah laksana keadilan yang ketara telah menyebabkan ketidakadilan.

"Kami berada di mahkamah hari ini untuk berhujah dan menyuarakan perkara itu," beliau memberitahu sidang lima panel hakim yang ketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop.

Kerajaan mahu mahkamah membenarkan permohonan semakan semulanya, untuk merit kes itu didengar memandangkan panel sebelumnya telah menolak kebenaran untuk merayu tanpa mendengar mengenai merit.

Peguam Datuk Dr C.V. Das yang mewakili Semantan Estate menjawab ini bukan kes yang sesuai dan layak untuk dikaji semula.

Beliau berkata perlu ada muktamd dalam mana-mana kes jika tidak ia akan membuka benteng kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah untuk memfailkan permohonan semakan semula.

Beliau juga berkata kerajaan diberi peluang untuk merayu terhadap keputusan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Ahmad yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Aziah Ali dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham menangguhkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. -- Bernama