Kerajaan Negeri Kelantan melihat isu persekitaran dan gaya hidup masyarakat Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh perlu diberi perhatian.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, selepas pengesahan penyakit yang melanda bukan berpunca daripada air tandak, air sungai dan sisa pembuangan lombong, fokus perlu diberikan untuk meningkatkan tahap kebersihan, pemakanan dan persekitaran mereka.

Walaupun setakat ini penyakit yang mengorbankan 15 penduduk masyarakat itu masih belum disahkan puncanya, namun pendidikan berkenaan kebersihan persekitaran perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli Batek di Kuala Koh.

"Kita perlu lihat dari segi kesihatan, kebersihan, pemakanan dan cara hidup mereka. Kita bantu mereka pertingkatkan kehidupan mereka seperti Orang Asli di Pos lain untuk menjadi lebih moden.

"Saya harap semua pihak dapat membantu untuk mengubah cara fikiran mereka kepada lebih baik. Banyak perkara yang perlu dibantu bagi Orang Asli Batek ini," kata Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan Kerajaan Negeri berhubung kematian dan penyakit yang melanda masyarakat Orang Asli Batek di Kuala Koh baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan, hasil ujian daripada contoh air di kawasan Kuala Koh mendapati tiada pencemaran bahkan sumber air yang diambil dari beberapa tempat mematuhi standard air kebangsaan bagi air mentah.

Ahmad pada masa sama menyarankan semua agensi berkaitan mengambil peranan dalam usaha mendidik masyarakat Orang Asli supaya mengubah cara hidup mereka ke arah lebih sihat.

BACA: Seorang lagi Orang Asli Sungai Berua dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu

BACA: Pesakit kanak-kanak Orang Asli Kuala Koh meninggal dunia