Kerajaan sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mengembangkan pendidikan tahfiz al-Quran di negara in

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, dasar itu bermatlamat menyediakan ruang kepada madrasah dan maahad tahfiz dalam memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran dalam negara terus diperkasa.

Beliau juga mahu agar dasar tersebut akan turut mengambil cadangan dan pandangan dari madrasah tahfiz di seluruh negara.

“Dasar ini bermatlamat supaya ruang yang seluas-luasnya disediakan kepada madrasah tahfiz dalam negara.

“Di samping itu, saya mahu supaya pandangan dan cadangan dari madrasah-madrasah tahfiz di seluruh negara digunapakai dalam merangka dasar ini, agar ianya bukan sahaja dasar kerajaan tapi lahir dari kehendak-kehendak madrasah-madrasah ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Himpunan 20,000 Huffaz.

Beliau turut merasmikan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) di Masjid Wilayah Persekutuan malam tadi.

Majlis yang kali pertama diadakan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Najib turut mengumumkan sokongan kewangan dari kerajaan sebanyak RM10,000 kepada pentadbiran PINTA peringkat negeri.

Turut diberikan ialah peluang mengerjakan haji pada tahun ini kepada 10 wakil PINTA di bawah sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).