Kerajaan negeri Sabah akan memberi Pembayaran Khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri itu yang akan dibuat serentak dengan pembayaran gaji bulan Disember, tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan perkara itu dalam pembentangan Bajet Sabah 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shafie, pemberian ‘durian runtuh’ kepada penjawat awam ini adalah selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini dalam menghargai jasa dan sumbangan anggota perkhidmatan awam dalam berbagai bidang.

"Kerajaan amat menghargai jasa dan sumbangan anggota perkhidmatan awam dalam membantu kerajaan mentadbir, mengurus dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Dengan penghargaan ini, kita mengharapkan perkhidmatan awam selaku jentera pentadbiran kerajaan akan membawa Sabah ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang lagi," katanya.

Mohd Shafie turut mengumumkan peruntukan terbesar kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dengan jumlah RM1,000.94 juta. - Foto Astro AWANI
Dalam pada itu, Mohd Shafie turut mengumumkan peruntukan terbesar kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dengan jumlah RM1,000.94 juta dalam memberi tumpuan kepada program pembangunan negeri ini.

"Sektor ini telah disyorkan agihan peruntukan yang besar oleh Kerajaan berjumlah RM1,254.9 juta pada tahun hadapan. Baki selebihnya diperuntukan di bawah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan-jabatan lain yang terlibat membangunkan kemudahan infrastruktur.

"Tumpuan kepada program pembangunan meliputi jalan raya, cerun, jambatan, pengangkutan awam, perkhidmatan kereta api, pelabuhan dan dermaga, bekalan air dan pembentungan, perparitan dan saluran," katanya.

Mohd Shafie turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM238.37 juta untuk pembangunan modal insan, keagamaan dan infrastruktur pada tahun hadapan.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa kerajaan kini telah menambah peruntukan bagi membantu sekolah-sekolah Mubaligh dan Persendirian daripada hanya RM12 juta pada tahun 2018 kepada RM15juta pada tahun hadapan," katanya lagi.