Dua rentung, manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki melanggar tiang lampu sebelum terbakar di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Balai Polis Malim, melaka, pada Jumaat malam.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam.

Timbalan Penguasa dan Penyelamat Bomba Melaka, Kamalruzaman Mohamad Din berkata, pihaknya menghantar satu jentera bomba dan satu unit EMRS bersama sembilan anggota bomba sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 8.37 malam.

Menurutnya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang rentung.

Katanya, ketika kejadian, kereta berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala ke Malim, sebelum ia hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu dan terbakar.