Kertas kerja berhubung reformasi sistem pilihan raya yang antaranya mencadangkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang akan dibentangkan ke Kabinet.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata ketika ini perbincangan dan sesi keterlibatan dengan agensi serta pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat diadakan berhubung cadangan penyertaan 30 peratus wanita dalam pilihan raya.

"Program dan bengkel diadakan untuk melihat bagaimana polisi kita akan bergerak dari sistem pilihan raya sekarang ke satu sistem yang membolehkan lebih ramai wanita untuk bertanding," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program "Women Fest Conference 2019- Women and Girls in Science" di sini pada Selasa.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR sebelum ini pernah mencadangkan perubahan dalam sistem pilihan raya negara, antaranya mewujudkan kuota 30 peratus kerusi diperuntukkan kepada calon wanita.

Zuraida seterusnya berkata beberapa kajian menunjukkan bahawa 'gender diversity' dan penyertaan wanita akan menyumbang kepada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, dan menurutnya kerajaan akan terus komited ke arah meningkatkan penglibatan wanita dalam peringkat kepimpinan selaras dengan sasaran 30 peratus yang ditetapkan.

Beliau berkata PRU yang lepas menyaksikan hanya 13 peratus daripada calon yang bertanding adalah dari kaum wanita.

-- BERNAMA