MALAYSIA
Maksimum 30 peratus pekerja sektor awam dibenar masuk pejabat

Arahan untuk bekerja dari rumah untuk penjawat awam dilakukan sama ada secara penggiliran atau atau sepenuh masa agar kehadiran mereka di pejabat pada kadar minimum, kata Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:Bermula 22 Oktober (esok) sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maksimum 30 peratus pekerja sektor awam sahaja dibenarkan berada di pejabat.
Ini dilakukan sama ada secara penggiliran atau atau sepenuh masa agar kehadiran mereka di pejabat pada kadar minimum sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan.
Malah semua aktiviti bersemuka seperti mesyuarat, perbincangan atau latihan akan dilakukan secara dalam talian sepenuhnya semasa tempoh berkenaan.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, ketua-ketua jabatan perlu memastikan pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan bekerja dari pejabat untuk bekerja dari rumah.
“Dokumen rahsia rasmi adalah tidak dibenarkan dibawa keluar sepanjang tempoh in," katanya dalam satu pekeliling, hari ini.
“Walau bagaimanapun, ketua jabatan boleh mempertimbangkan atas kepentingan tugasan dan prinsip bekerja dari rumah untuk memberi kebenaran membawa keluar dokumen rahsia rasmi termasuk salinan hardcopy atau softcopy berdasarkan garis panduan membawa rahsia rasmi keluar dari pejabat semasa tempoh perintah kawalan pergerakan oleh pejabat ketua pegawai keselamatan kerajaan Malaysia,” katanya lagi.
Bagaimanapun, tegas beliau, arahan kehadiran bertugas ini adalah terkecuali kepada penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan penting yang ditentukan oleh ketua jabatan selaras dengan surat edaran JPA.
Tambah Mohd Khairul, arahan untuk bekerja dari rumah itu juga dipanjangkan kepada semua perkhidmatan negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang dikenakan PKPB.
PKPB berkuatkuasa di seluruh Sabah mulai 13 Oktober sehingga 26 Oktober manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Labuan, bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober.
Ia bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat selepas Pilihan Raya Negeri Sabah lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami