Kes Gua Rusa: Kematian Roviezal dirasai rakan sekerja

Kes Gua Rusa: Kematian Roviezal dirasai rakan sekerja
Mangsa difahamkan cuba menyelamat seorang pelancong yang hilang dibawa arus deras semasa banjir kilat.
KUCHING: Kematian pemandu pelancong Roviezal Robin, 20, yang lemas ketika menyelamatkan seorang pelancong Belanda di Gua Rusa, Miri amat dirasai oleh rakan sekerjanya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, menurut seorang rakan Roviezal yang ditemui semasa operasi menyelamat, mangsa dikenali sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

"Sungguhpun baru bekerja dan usianya yang muda, mangsa adalah seorang daripada pemandu pelancong terlatih di samping mempunyai budi pekerti yang tinggi.

"Dia juga dikatakan seorang yang amat disenangi dalam kalangan rakan sekerjanya dan sering membantu rakan-rakan yang lain ketika diperlukan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
BACA: Insiden Taman Negara Mulu: Gagal nilai situasi, ketidaktentuan cuaca jadi penyebab

Law berkata tindakan mangsa itu merupakan tindakan yang berani kerana sanggup menggadaikan nyawa sendiri demi menyelamatkan insan lain.

"Dalam kejadian yang berlaku pada 5.50 petang Jumaat itu, mangsa difahamkan cuba menyelamat seorang pelancong Belanda Peter Hans, 66, yang hilang dibawa arus deras semasa banjir kilat," katanya.

Berdasarkan kronologi kejadian, ketika banjir kilat berlaku, Roviezal telah berjaya menyelamatkan lapan orang mangsa yang turut serta dalam rombongan menerokai Gua Rusa tersebut.

BACA: Dua termasuk pelancong Belanda hilang selepas banjir kilat di Taman Negara Mulu

Kesemua lapan mangsa itu selamat setelah ditarik seorang demi seorang ke tebing oleh Roviezal dengan menggunakan tali, termasuk isteri Peter Hans yang dikenali sebagai Gerda Alida.

Bagaimanapun, Roviezal dibawa arus deras ketika dalam usaha untuk menarik dan menyelamatkan Peter Hans.

Mayat Peter Hans ditemui pada 6.40 pagi Sabtu manakala mayat Roviezal ditemui pada 10 pagi tadi dalam keadaan meniarap di atas batu serta celah kayu pada jarak 500 meter dari jalan masuk ke Gua Rusa.

Mangsa juga ditemui tidak berbaju serta berkasut dan hanya memakai seluar dan stokin.

-- BERNAMA