Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan mengutamakan keberhasilan rundingan dengan Pyongyang dan akan membuat kenyataan berhubung kes kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, bila sampai masanya.

Menurut beliau, siasatan kes Jong-nam melibatkan rundingan antara kerajaan Malaysia dan Korea Utara, dan sangat sensitif bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini di Korea Utara.

Justeru, beliau mahu semua pihak bersabar memandangkan isu berkenaan sangat sensitif.

"Kita akan buat kenyataan apabila sampai masanya, jadi kita harap bersabar kerana perkara ini sangat sensitif.

"Apa yang penting adalah keberhasilannya diutamakan, maknanya keselamatan rakyat Malaysia di Pyongyang," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn , PWTC.

Di samping itu katanya, imej negara sebagai sebuah negara berdaulat dan menjunjung prinsip perlembagaan dan undang-undang perlu dipelihara.

"Namun saya berjanji kalau ada sesuatu yang saya mahu beritahu, saya akan beritahu," tambahnya.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan ke Macau.

Dia dihampiri dua wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX.

Jong-nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.