Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu wanita warga Vietnam Doan Thi Huong yang dituduh membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, datang ke Malaysia bersama dua suspek lelaki yang masih bebas dalam kes pembunuhan itu sebulan sebelum Jong-nam mati disapu racun VX.

Doan, 29, yang datang ke Malaysia bersama Hanamori dan Ri Ji Hyon yang dikenali sebagai "Mr Y" dengan penerbangan Vietnam Airlines dari Lapangan Terbang Noi Bao, menginap di dua bilik berasingan iaitu bilik nombor 503 dan 504 di tingkat lima, Hotel Concorde, di sini pada 3 Jan 2017 hingga 5 Jan 2017.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, ketika membacakan percakapan beramaran tertuduh pada prosiding hari ke-33 perbicaraan kes Siti Aisyah, 26, warga Indonesia dan Doan yang didakwa bersama-sama empat lelaki yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Klia2 pada 9 pagi, 13 Feb 2017.

Melalui kenyataan beramaran itu, Doan memberitahu "Mr Y" mengarahkannya melakukan 'prank' (gurauan) pertama dengan mengatakan 'Hello' dan memberi ciuman mengejut kepada seorang lelaki warga Eropah di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur pada 5 Jan, namun 'prank' itu tidak berjaya setelah lelaki itu menegur mungkin Doan tersalah orang.

Doan dalam kenyataan itu berkata: "Selepas itu, saya pulang ke Vietnam pada hari yang sama tetapi Hanamori dan Mr Y tidak mengikut saya. Mereka tinggal di Malaysia tetapi saya tidak tahu berapa hari mereka tinggal di negara ini. Saya dibayar US$20 untuk video 'prank' yang gagal dan US$250 gaji bulan Januari oleh Mr Y."

Kenyataan beramaran itu juga menyatakan kali kedua Doan datang ke Malaysia pada 4 Feb 2017 bersama "Mr Y" melalui penerbangan Malaysia Airlines dan menetap di Pearl International Hotel sehingga 6 Feb tahun lepas untuk melakukan 'prank'.

Kesemua perkara itu dipersetujui oleh Pegawai Penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Saksi kesembilan itu berkata beliau tidak melakukan sebarang siasatan terhadap hotel-hotel yang diduduki Doan kerana ia tidak penting kepadanya.

Hisyam: Setuju dengan saya, kalau kamu ada membuat siasatan, ia boleh menyokong apa yang tertuduh cakap?

Wan Azirul Nizam: Tidak pasti kerana tertuduh bohong.

Hisyam: Saya katakan siasatan kamu cacat, berat sebelah dan tidak bebas.

Wan Azirul Nizam: Tidak setuju.

Hisyam: Kamu tahu tak Doan pernah pergi ke Kemboja bersama Mr Y dan Hanamori tetapi tidak membuat apa-apa prank di situ?

Wan Azirul Nizam: Setuju berdasarkan percakapan tertuduh.

Saksi itu juga berkata, beliau tidak pergi ke Kemboja untuk melakukan siasatan mengenai perkara itu kerana ia tidak penting untuk beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 20 Mac.