Mahkamah Majistret di sini melanjutkan tempoh tahanan reman selama tiga hari terhadap dua pekerja One City Development Sdn Bhd (One City) bagi membantu siasatan kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

Bernama melaporkan Majistret Nor Ariffin Hisham mengeluarkan perintah reman bermula esok sehingga Sabtu bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kedua-dua suspek.

Suspek itu termasuk seorang penasihat undang-undang syarikat pemaju itu yang tempoh reman mereka akan tamat pada tengah malam ini.

BACA: Pasukan khas buru dalang rusuhan kuil - KPN

Pada Selasa, mahkamah mengeluarkan perintah tahanan reman selama dua hari terhadap kedua-dua suspek itu.

Sementara itu, perintah reman selama empat hari turut dikeluarkan terhadap empat lagi individu yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun untuk membantu siasatan kes sama.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Setakat ini, 20 orang telah ditahan reman bagi membantu siasatan dalam kes rusuhan di perkarangan kuil serta kawasan sekitar pada awal Isnin dan Selasa yang turut menyaksikan seorang anggota bomba, yang didakwa diserang, cedera parah.

BACA: Anggota bomba cedera akibat kemalangan - Badan bertindak kuil

Pada Selasa, mahkamah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap 16 individu termasuk dua pekerja syarikat pemaju itu dan hari ini, empat lagi ditahan reman.