"Inilah peluang saya untuk membersihkan nama saya,".

Demikian luah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal mengetahui nasibnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok selepas menempuh perbicaraan lebih dua tahun berhubung kes penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Najib turut menyatakan, apa juga keputusan esok, beliau sudah bersedia untuk menempuh proses seterusnya di Mahkamah Rayuan.

"Walau apa pun keputusannya esok di Mahkamah Tinggi, ia tidak berakhir di sini. Sekiranya didapati tidak bersalah, sudah tentu pihak pendakwa raya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Sebaliknya jika keputusan di Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada saya, sudah tentu saya akan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan untuk penghakiman yang adil oleh panel tiga hakim dan bukan seorang hakim seperti keputusan esok.

"Ya, lepas ini kita ke Mahkamah Rayuan. Saya sudah bersedia. I am ready," ujarnya.


Sumber Facebook najibrazak


BACA: Kes SRC International: Nasib Najib Razak bakal ditentukan esok



Najib pada masa sama mahu kes ini dibicarakan dengan adil dan tidak mahu kesnya digugurkan hanya kerana permainan politik.

"Saya tidak mahu mana-mana kes saya digugurkan seperti kerajaan PH menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng walaupun sudah bermula prosiding di mahkamah.

"Demi DAP dan Lim Guan Eng, undang-undang dan sistem kehakiman dimainkan begitu sahaja oleh PH," dakwanya.

Katanya: "Saya tidak mahu. Saya tidak mahu. Saya tidak mahu. Saya mahukan keadilan. Saya mahu membersihkan nama saya,".


Najib yang diwakili peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 750 eksibit dikemukakan termasuk dokumen bank, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger.

Ikuti LAPOR LANGSUNG perkembangan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.