"Ketika gegaran berlaku, kami dengar bunyi yang kuat, seperti batu-batu jatuh".

Itu kata pemilik Guesthouse Kundasang, Nazril apabila menceritakan semula kejadian gempa bumi yang melanda Ranau, Sabah pada Khamis.

Memandangkan ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku di Sabah, Nazril berkata dia tidak begitu cemas kerana gegaran kali ini tidak sekuat kejadian gempa pada 2015.

"Ketika kejadian berlaku, pelanggan saya panik dan bergegas keluar bangunan.

"Gegaran hanya berlaku selama 5 saat dan kami bernasib baik kerana semuanya selamat," kata Nazril.

Sementara itu, pelanggan di Guesthouse Kundasang, Mohamad Radzi Mat Daud berkata dia menyedari gegaran tersebut ketika sedang makan malam bersama keluarga.

BACA: Gempa bumi bermagnitud 5.2 melanda Ranau

BACA: "Kami sangat bernasib baik kerana setakat ini, semua pendaki selamat"

"Saya mula panik selepas melihat atap restoran Guesthouse mula bergegar.

"Saya rasa gegaran itu kuat, kerana berasa pening selepas kejadian," kata Mohamad Radzi.

Hayati Abas yang sedang bercuti di Kota Kinabalu pula berkata dia sememangnya berasa takut ketika kejadian itu berlaku.

"Saya dari Kuching, Sarawak, dan ini kali pertama saya merasai gempa bumi.

"Saya memang sangat takut," kata Hayati yang bercuti bersama sembilan rakannya itu.

Satu gempa bumi bermagnitud 5.2 direkodkan berlaku di kedalaman 5 Kilometer (km) di daerah Ranau malam tadi.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Azemi Daud berkata, gempa bumi itu berlaku pada jam 9.06 malam.