Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan beliau melawat kapal mewah Equanimity yang dikatakan dibeli menggunakan dana dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk meninjau aspek keselamatan ke atas kapal itu.

Beliau berkata polis telah mengambil langkah-langkah terbaik setakat ini berhubung aspek keselamatan kapal pesiaran tersebut yang belayar dari Indonesia dan tiba di Pelabuhan Klang pada 12.35 tengah hari tadi.

“Kami datang ke sini untuk berbincang mengenai isu keselamatan dan kawalan keselamatan antara pihak berkuasa di sini (Boustead Cruise Centre) dan polis serta agensi berkaitan yang lain.

"Kami datang untuk memeriksa keadaan kapal tersebut bersama pegawai kanan dari ibu pejabat polis persekutuan dan Polis Kontingen Selangor," kata beliau kepada pemberita selepas melawat kapal itu selama hampir 30 mini, yang kini berlabuh d terminal Boustead Cruise Centre di sini hari ini.

Kapal pesiaran tersebut, dianggarkan bernilai RM1 bilion, dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana dari 1MDB.

Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang dikatakan pemilik kapal itu sedang diburu oleh pihak berkuasa untuk membantu siasatan mengenai 1MDB.

Menurut Jabatan Peguam Negara, Equanimity dirampas mengikut prosedur di bawah undang-undang Malaysia. -- Bernama