Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, berjaya mengekalkan prestasi sekolah terbaik negara untuk enam tahun berturut-turut bagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013.

Penolong Kanan Tingkatan 6 KISAS, Abdullah Hassan berkata sekolah itu mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 3.42 dan julung kali diberi anugerah khas sebagai sekolah cemerlang.

"Kesungguhan guru-guru, kepekaan para pelajar, motivasi yang berterusan dan pendedahan sejak peringkat awal tahun lagi, merupakan antara resipi kejayaan KISAS.

"Selain itu kita juga menjemput bekas-bekas pelajar untuk beri semangat kepada para pelajar dan kita mengadakan latih tubi yang melibatkan masyarakat tempatan termasuk mengadakan program akademik di masjid," katanya kepada media sejurus Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) 2013 di sini, Rabu.

Katanya lebih 60 pelajar Kisas menduduki STPM 2013 dan semua pelajar yang menduduki STPM 2012, diterima masuk ke institut pengajian tinggi pilihan masing-masing.