Harapan rakyat untuk melihat hukum hudud dan kisas terlaksana di Kelantan mungkin cerah selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang).

Jika sebelum ini , Rang Undang-undang Persendirian (RUU355) gagal dibahaskan di Parlimen berikutan perubahan kerajaan, namun kali ini kerajaan Kelantan berpeluang untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, masih terlalu awal untuk membicarakan soal berkenaan.

“Kita haraplah cuma benda ini (pelaksanaan hudud) terlalu awal lagi. Kita baru angkat sumpah jadi dan masa bukan panjang, kita ada cabaran besar lepas ini 18 Mei nanti mungkin ada undi tak percaya.

“Jadi dalam masa dua bulan ini tidak boleh terlalu mengharapkan suatu benda yang besar kita selesai apa yang asas dulu yang lain mungkin boleh bincang selepas ini,” kata beliau.

Isu pindaan enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan serta perbahasan RUU355 bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hukum hudud dan kisas merupakan agenda Pas Kelantan sejak sekian lama.

Hasrat berkenaan terhalang kerana sesi perbahasan yang tertangguh selepas usul berkenaan dibentangkan di Parlimen sebelum pilihan raya umum lalu.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, pelantikan bekas Mufti Wilayah, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamed sebagai menteri berkaitan hal ehwal agama, disifatkan Mohd Amar sebagai kena pada tempatnya.

Menurut Mohd Amar, Zulkifli tidak perlu menyertai mana mana parti politik bagi memelihara imejnya sebagai tokoh agamawan.

Beliau turut menyifatkan pelantikan Zulkifli sebagai sesuatu yang istimewa kerana beliau disenangi ramai pihak dan dapat membantu keseluruhan aspek agama Islam tanpa dikaitkan dengan politik.
BACA: Mufti, Ketua Pegawai Eksekutif antara individu dilantik senator