Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkaji keperluan untuk memasukkan vaksin pneumokokal (PnD) dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, buat masa ini tiada keperluan mendesak untuk memasukkan vaksin berkenaan ke dalam NIP.

Namun pihaknya akan membawa perkara itu ke peringkat kementerian untuk diteliti sebelum ia dimuktamadkan.

"Setakat ini belum ada keperluan dan kita akan membuat kajian sama ada keperluan mendesak atau tidak," katanya.

Menurut Dr Hilmi, setiap bayi dan kanak-kanak di negara ini menerima beberapa jenis vaksin bagi mencegah 13 penyakit berbahaya termasuk difteria.

Bagi tujuan itu, katanya Kerajaan telah memperuntukkan RM120 juta ringgit untuk program tersebut.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Pengerusi Perikatan Strategik Asia bagi Penyakit Pneumokokal (ASAP), Datuk Dr. Zulkifli Ismail yang meminta agar vaksin PnD di masukkan dalam NIP selepas merasmikan Dewan Terbuka Perumahan Polis Bayan Indah, di sini, hari ini.

Penyakit pneumokokal (PnD) adalah penyakit umum yang ‘menyerang’ kanak-kanak di bawah usia dua tahun termasuk bayi baru lahir.

Menurut Dr Hilmi lagi, sejak vaksin PnD diperkenal, hanya tiga peratus daripada populasi penduduk Malaysia yang mengambil vaksin tersebut.

Suntikan vaksin PnD walaupun bukan satu suntikan ‘wajib’ kepada anak-anak kecil, namun ia perlu kerana dapat menolong mencegah rangkaian jangkitan penyakit lain.