Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang giat menjalankan kajian bagi mendapatkan kit ujian pantas yang tepat dan mampu bertahan lama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa ketika ini pihaknya sedang berusaha ke arah itu dengan menguji kit ujian pantas dari Korea Selatan dalam tempoh masa sehari dua.

“Usaha kajian bagi kit pantas tersebut setakat ini kita masih tiada yang tepat dan boleh bertahan lama. Untuk hari ini, kita juga ada melaksanakan ujian itu.

“Pada esok, terdapat satu kit ujian pantas akan tiba daripada Korea Selatan dan kami mengharapkan keputusannya akan memberikan bacaan ketepatan yang tinggi,” jelasnya dalam sidang media KKM pada Ahad.

Tambahnya, meskipun kit ujian tersebut tidak mempunyai bacaan yang begitu tepat, ia terdapat kelebihan dan kepentingan yang mana boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.

“Jadi, peruntukan masa bagi penggunaan kit ujian itu adalah sangat pendek, ia hanya mengambil masa sekitar 30 minit hingga satu jam.

“Satu lagi kelebihannya ialah kit ujian ini mudah dialih, bererti ia mudah digunakan di klinik dan di pusat rawatan kesihatan,” tambah Dr Noor Hisham.

Susulan itu, pihaknya berharap dalam tempoh sehari dua ini sekiranya mempunyai data dan maklumat lain berkenaan kit ujian pantas.

Juga, Kementerian Kesihatan kini sedang melihat kit ujian daripada Amerika Syarikat dan reagen daripada Taiwan.

Untuk rekod, sebanyak 153 kes positif baharu berkaitan COVID-19 direkodkan di negara ini setakat 12 tengah hari Ahad, menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 4,683 kes.

BACA: 153 kes positif baharu, tiga lagi kematian akibat COVID-19

BACA: COVID-19: Empat lagi sub-kluster baharu dikesan