Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan tiada jangkitan wabak selesema burung (H5N1) daripada ayam kepada manusia dilaporkan setakat ini di Kelantan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata setakat ini tiada laporan jangkitan H5N1 itu kepada manusia dan hanya melibatkan ayam kampung para penternak kecil-kecilan sahaja.

"Walau bagaimanapun, pemantauan khususnya terhadap industri para penternak ayam dan mengambil langkah pengawasan ketat, dengan mengambil ujian darah terhadap semua pesakit yang dijangkiti selesema, namun sehingga kini tiada sebarang tanda virus berkenaan menjangkiti manusia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ikon Gigi Pulau Pinang 2017 di sini hari ini.

Beliau turut mengesahkan wabak H5N1 ini hanya berlaku di Kelantan sahaja dan tidak merebak ke negeri lain, terutamanya di Terengganu.

Kerajaan Kelantan pada 15 Mac lepas mengisytiharkan H5N1 sebagai bencana negeri selepas beberapa ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata program Ikon Gigi (iGG) ini akan diperluaskan kepada lebih banyak negeri supaya orang ramai akan lebih sedar tentang kesihatan pergigian.

Katanya, sejak dilancarkan pada tahun lepas, program ini telah berjaya memilih lebih 200 Ikon Gigi di tujuh negeri iaitu Melaka, Terengganu, Kelantan, Kedah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Beliau berkata laporan tinjauan kesihatan pergigian kebangsaan orang dewasa pada 2010 menunjukkan bahawa di Pulau Pinang sahaja, hanya seorang daripada lima

orang dewasa yang mendapatkan pemeriksaan pergigian dalam tempoh dua tahun.

"Program ini akan menjadikan iGG sebagai perantara dalam mempromosi aktiviti pergigian kepada masyarakat selain memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang penting kesihatan gigi," katanya.

Tambahnya, pemilihan iGG yang juga sukarelawan ini adalah berdasarkan beberapa kriteria yang sudah dikenal pasti oleh fasilitator yang dilantik kementerian.

-- BERNAMA