Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memberi penerangan secara lebih menyeluruh mengenai ancaman militan Daish kepada masyarakat di negara ini.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata langkah itu adalah bagi menangani propaganda militan Daish seterusnya dapat mengurangkan penularan ancaman militan di kalangan rakyat negara ini.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak Jakim dan cuba membantu sekiranya Jakim boleh mengeluarkan artikel yang dapat memberi pengertian sebenar mengenai apa itu jihad, peperangan dalam Islam dan sebagainya bagi kita menyiarkannya di mana-mana siaran televisyen.

"Sekarang ini belum ada lagi medium yang betul-betul dapat menerangkan mengenai Daish dan kita harap kerjasama ini membantu memberi penerangan dan kefahaman sebab kalau tidak, masyarakat hanya membaca melalui internet dan mudah terpedaya dengan apa yang disebarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Hulu Terengganu di sini hari ini.

Jailani berkata melalui kerjasama tersebut juga pihaknya berharap beberapa program khusus dapat diadakan bagi menjemput penceramah dan pakar motivasi yang dapat menerangkan secara menyeluruh isu tersebut.

"Sekarang ini pelbagai artikel disebarkan dengan hanya "cut 'n' paste" sedangkan kita tak tahu asal usul dan kesahihan maklumat yang diviralkan, jadi saya minta semua yang melayari internet supaya berhati-hati setiap masa.

"Individu yang memuat naik dan menyebarkan mana-mana artikel berkaitan (Daish) adalah satu kesalahan di bawah akta-akta berkaitan sama ada di bawah akta percetakan, akta komunikasi dan akta hasutan," katanya.

Jailani berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan terus memantau mengenai Daesh di media sosial.

"Kita telah tutup akaun Twitter dan kita masih memantau sebab kita percaya mungkin ancaman ini masih wujud (di negara ini).

"Oleh itu kita minta SKMM untuk terus memantau kerana kita tak mahu wujudnya mana-mana pihak yang cuba memviralkan mana-mana artikel atau kandungan yang cuba mempengaruhi masyarakat.

"Melalui Komuniti 1Malaysia (K1M), kita akan cuba hubungkan K1M di setiap negeri dan kita akan pergi ke kawasan-kawasan terutama di kampung dan bandar untuk membantu meningkatkan kefahaman mengenai isu ini," katanya.