Rakyat Malaysia yang menetap di Wuhan, China dilaporkan selamat dari dijangkiti novel koronavirus (2019-nCoV).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar dan ekspatriat.

Menurut Marzuki, kedutaan Malaysia di China sentiasa memantau keadaan rakyat negara ini yang menetap di sana dan terus menyalurkan maklumat berkaitan.

Katanya, setakat pagi Sabtu, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat 1,300 orang disyaki atau disahkan terkena wabak itu dengan jumlah kematian turut meningkat daripada 21 ke 46 orang.

Marzuki berkata, kedutaan membuka pusat operasi 24 jam bagi memantau perkembangan semasa dan membantu rakyat Malaysia di negara tersebut.

Katanya, setakat ini tiada larangan dikeluarkan kerajaan kepada rakyat negara ini untuk mengunjungi republik itu.

Bagaimanapun, pihaknya menasihatkan mereka yang mahu ke Wuhan agar membatalkan hasrat ke sana buat masa ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya berharap sangat rakyat Malaysia yang ada sana cepat menghubungi kedutaan kita dan kedutaan kita buka 24 jam, operasi 24 jam untuk memantau segala maklumat atau permasalahan rakyat kita yang ada di Wuhan.

"Di Wuhan, saya difahamkan tidak ada terlalu ramai rakyat Malaysia, tetapi kebanyakan mereka ekspatriat dan pelajar tapi tak ramai. Saya tak boleh bagi jumlah tepat difahamkan (jumlahnya) tak sampai 100 orang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Menteri Kewangan Lim Guan Eng bersama Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE, di Bayan Lepas pada Sabtu.

BACA: Pengesanan kes positif 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia

BACA: Koronavirus kini di Malaysia: Apa yang kita tahu?

BACA: Berada di China dan akan pulang ke Malaysia? Segera ambil tahu!

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan, tiga kes jangkitan koronavirus di negara ini, membabitkan pelancong China yang juga ahli keluarga kes positif yang dikesan di Singapura.

Ketiga-tiganya kini dalam kuarantin dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh terdiri daripada isteri dan dua cucu kepada lelaki berusia 66 tahun, yang menjadi kes pertama di negara jiran itu.